Tuesday, April 27, 2010

Dua beradik tidak makan tiga hari

KUALA LUMPUR: “Ibu ghaib...” demikian ungkapan kata yang berulang kali diucapkan Mohd Fitri Roslan, 4, dan abangnya, Mohd Faiz, 5, sejurus diselamatkan seorang penduduk selepas ‘terkurung’ dalam rumah mereka di Taman Nilai, Negeri Sembilan, sejak tiga hari lalu.Lebih menyedihkan dua beradik terbabit terpaksa ‘berpuasa’ apabila tidak menjamah sebarang makanan sepanjang berada dalam kurungan itu, sebaliknya hanya meneguk air paip untuk membasah tekak serta mengalas perut.


Disebabkan terlalu lapar selain keletihan, Mohd Fitri dan Mohd Faiz berada dalam keadaan tidak bermaya ketika ditemui kira-kira jam 10 pagi kelmarin.


Difahamkan, penderitaan dua beradik berkenaan hanya terbongkar selepas seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lan, 42, mendakwa terdengar tangisan kanak-kanak sejak Sabtu lalu, namun tidak mengendahkannya.


Lan berkata, pada mulanya dia menyangkakan dua beradik berkenaan bergaduh, tetapi mula curiga apabila tangisan itu masih didengari hingga kelmarin.


“Saya yang curiga dengan keadaan itu mengetuk pintu rumah berkenaan, namun tiada sebarang jawapan sebaliknya bunyi tangisan kian perlahan.
“Bimbang berlaku perkara buruk, saya bertanya kepada jiran sebelah rumah berkenaan, namun tetangga itu mendakwa dia tidak tahu-menahu sebaliknya hanya mengakui turut mendengar tangisan kanak-kanak sejak beberapa hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurut Lan, selepas gagal menghubungi bapa kanak-kanak berkenaan, Roslan Ariffin, 40, dia memecahkan pintu rumah sebelum mendapati Mohd Fitri dan Mohd Faiz terbaring di ruang tamu dalam keadaan lemah sambil menangis.


“Sebaik ditanya di mana ibu mereka pergi, kedua-dua kanak-kanak berulang kali mengatakan ‘ibu ghaib...’ menyebabkan saya terkejut,” katanya.

Lan berkata, dia kemudian menghubungi bapa kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Roslan sebelum memaklumkan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Roslan berkata ketika diberitahu mengenai keadaan kedua-dua anaknya itu, dia berada di utara tanah air kerana urusan kerja.
Menurutnya, dia yang terkejut dengan berita itu bergegas pulang ke rumah di Taman Nilai, sebelum berusaha mencari isterinya di kawasan berkenaan.
“Saya bimbang kerana isteri, Surniyah Baharudin, 35, saya kurang sihat, apatah lagi sebelum ini dia tidak pernah meninggalkan rumah. Lagipun, dia tidak membawa sebarang dokumen ataupun duit,” katanya.

Berikutan itu, Roslan berkata dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian 012-9148972.

Sunday, April 25, 2010

‘Pengundi hantu’ wujud di Hulu Selangor


HULU SELANGOR, 25 April: Pengundi hantu yang sering kali diperkatakan oleh pembangkang pada pilihan raya sama ada umum atau kecil sememangnya wujud termasuk dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, hari ini.

Apa yang berlaku kali ini ialah pengundi yang tidak dikenali telah terlebih dahulu mengundi bagi pihak pengundi asal sebagaimana yang terdapat dalam buku daftar pemilih tanpa pengetahuannya.

Ini ekoran seorang pengundi, Lee Fong Thye, 56, hari ini membuat laporan polis berikutan ada orang lain telah mengundi bagi pihaknya.

Beliau yang tinggal di No 28, Jalan 2/24 Taman Bukit Rawang membuat laporan di Balai Polis Serendah pada jam 2.29 petang ini.

Menurutnya, lebih kurang jam 12.30 beliau sampai di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Serendah.

Beliau telah membuat semakan di pondok panas dan namanya ada tersenarai dalam senarai pengundi di saluran 2.

Beliau masuk ke pusat mengundi di saluran 2 dan memberikan KPT (Kad Pengenalan) kepada calling agent SPR serta ketua tempat mengundi (KTM).

Bagaimanapun, katanya, beliau diberitahu namanya telah ditanda sebagai sudah mengundi.

Berikutan itu, beliau membuat bantahan kepada KTM dan telah dibenarkan untuk membuang undi setelah disahkan dokumen pengenalan diri.

“Saya membuat laporan polis kerana terdapat keraguan bagaimana nama saya telah ditanda sebagai pengundi walaupun saya belum mengundi.

“Saya juga takut sekiranya KPT saya telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam laporan polis itu.

Kamalanathan janji tunaikan tanggungjawab


HULU SELANGOR 25 April - Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan berkata, tanggunggjawab yang diberikan oleh rakyat Hulu Selangor kepada beliau akan mencerminkan bagaimana parti itu berkhidmat kepada rakyat.

Sambil melahirkan perasaan terharu berikutan kejayaan memenangi pilihan raya Parlimen kawasan itu, Kamalanathan berikrar akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung dilaksanakan secepat mungkin.

''Saya akan melawat semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor secepat mungkin untuk mengucapkan terima kasih, sama ada mereka mengundi saya atau tidak, ia tidak menjadi persoalan kerana bagi saya semua pengundi adalah sama.

''Kejayaan ini bukan faktor saya, tetapi faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua komponen BN," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini, malam ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Beliau mendapat 24,997 undi manakala Zaid 23,272 undi.

Mengenai perolehan undi Cina, Kamalanathan yang berjanji akan berpindah ke Hulu Selangor secepat mungkin berkata, beliau akan bekerja keras bukan sahaja untuk mendapat undi kaum tersebut tetapi juga semua kaum.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu kerana mencalonkan beliau, Kamalanathan percaya undi kaum India sudah bertambah dan semakin pulih.

PRK Hulu Selangor

HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.